KURSUS TEKNIK PENGAJARAN BAHASA MELAYU (KSSR) PERINGKAT SRITI NEGERI KELANTAN

28-29 FEBRUARI 2020, SRITI ASY-SYAFIE JELI, KELANTAN – Sektor Pembangunan Akademik SRITI Negeri Kelantan telah menganjurkan program kecemerlangan guru-guru iaitu Kursus Teknik Pengajaran Bahasa Melayu (KSSR) Peringkat Negeri Kelantan. Kursus yang telah berlangsung dengan jayanya ini bertempat di dewan Abqari, SRITI Asy-Syafie, Jeli Kelantan.

Kursus ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para guru Bahasa Melayu SRITI Negeri Kelantan mengenai Teknik Pengajaran Subjek Bahasa Melayu yang betul dan berkesan berdasarkan ketetapan Kementerian Pendidikan Malaysia. Kursus ini juga dapat membantu guru-guru meraih & membina idea-idea inovasi aktiviti yang terbaru untuk dijalankan semasa proses pembelajaran berlangsung. Sekaligus dapat membantu para guru untuk lebih bersedia dan yakin dalam menyampaikan proses PdP yang lebih berkesan di kelas nanti.

Seramai 40 orang guru Bahasa Melayu dari sepuluh SRITI seluruh Negeri Kelantan telah menyertai kursus ini dengan jayanya.

Majlis perasmian telah dirasmikan oleh Pengarah SRITI Kelantan, Ustaz Wan Abu Bakar Bin Wan Mahusin. Dalam ucapan perasmian beliau, Ustaz Wan Abu Bakar mengucapkan tahniah kerana berjaya hadir ke kursus ini dan menegaskan bahawa kursus ini sangat penting memandangkan SRITI sudah semakin melangkah maju. Beliau juga menyatakan kursus ini dianjurkan untuk memastikan guru dapat memastikan teknik, bahan & aktiviti yang dilakukan semasa proses PdP adalah betul dan seiring pendidikan arus perdana.

Kursus Teknik Pengajaran Bahasa Melayu (KSSR) Peringkat Negeri Kelantan ini telah menjemput Puan Faridah Salleh yang merupakan penerima Anugerah Guru Inovasi Timbalan Pejabat Pendidikan Kota Tinggi, Johor bagi tahun 2020 sebagai pembentang kursus ini. Beliau merupakan founder Qaseh Learning Centre dan Tadika Qaseh Intelek yang telah membina beberapa inovasi pendidikan Bahasa Melayu yang lebih mudah dan menarik. Selain itu, beliau juga merupakan Jurulatih Utama bagi Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Berdasarkan Sekolah (PBS). Dengan jawatan dan anugerah yang bermacam-macam ini menjadikan kursus ini lebih berjaya dan hebat.

Dalam perbentangan ceramah beliau selama dua hari ini Puan Faridah atau nama manjanya Cikgu Ieda @ Kak Ieda memperkenalkan banyak idea inovasi dan teknik terbaru dalam memastikan murid lebih berminat dan mudah memahami proses pembelajaran. Melalui empat modul utama perbentangan ini guru-guru dapat mempelajari teknik mudah dan menarik untuk memastikan murid dapat membaca, menulis dan membina ayat serta karangan bahasa melayu menggunakan format yang betul.

Tahniah buat Sektor Pembangunan Akademik (SPA) SRITI Negeri Kelantan kerana berjaya menganjurkan program yang sangat bermanfaat ini. Semoga dengan penganjuran kursus ini dapat menambah pengetahuan sekaligus dapat membantu guru-guru bahasa melayu SRITI Negeri Kelantan melakukan inovasi dalam membina aktiviti kelas yang lebih berkesan pada masa akan datang.

Jabatan SRITI Negeri Kelantan

jabatansritikelantan@gmail.com

+60 13-854 5417

Syabab Point, Bandar Kota Bharu, 15050 Kota Bharu, Kelantan

Sentiasa Bersama SRITI

Scroll to Top